WELCOME....

IT'S ALL ABOUT YARNTZ...

Wednesday, December 15, 2010

> "Tangisan Terakhir"..(this is my 1st try..hehehe)

Suffiyah termanggu. Ditatap wajah ibu dalam-dalam. Mata ibu berkaca. Masih tersisa air mata di kelopak tua itu. Kakngah dan kakcik juga begitu. Masing-masing menyeka air mata yang mengalir di pipi. Suffiyah termenung panjang. Sebak dadanya kembali menemani. Sudah tiga bulan Suffiyah terseksa. Air mata Suffiyah sentiasa menjadi teman tidurnya. Suffiyah bermain dengan teka teki. Mencari di mana salah dirinya. Apa dosa Suffiyah? Suffiyah bertanya sendiri sambil air mata masih setia mengalir dipipinya.

Tiga bulan..ya..sudah tiga bulan Suffiyah bermain dengan perasaan sendiri. Tidur Suffiyah tidak lagi seindah dulu. Mimpi indah tidak lagi menjadi teman tidurnya. Kerapkali Suffiyah terjaga dan air mata akhirnya menjadi peneman malam sepinya hingga ke pagi. Tatkala Suffiyah tak tertahan dengan dugaan dan khayalan sendiri, air matanya tumpah lagi. Suffiyah seperti sudah tidak sanggup lagi dengan dugaan yang maha hebat ini.

**********************************************************

Telefon bedering. Satu mesej diterima. Suffiyah bingkas bangun mencapai telefon yang terletak di hujung katil. “Salam”...hanya itu ditulis oleh si penghantar. Suffiyah tersenyum. Sudah dapat diagak siapa gerangan penghantar mesej itu. Jari jemari Suffiyah lantas membalas kiriman itu. Ada senyum kecil masih bermain dibibirnya. Perbualan pertama itu tidak lama. Mungkin Suffiyah dan si pengahantar mesej agak keletihan. Tambahan esoknya adalah hari pertama Suffiyah akan memulakan tugas di tempat kerjanya barunya.

Esoknya telefon Suffiyah berdering lagi. Suffiyah mencapai telefon dengan senyuman yang melebar. Si penghantar masih lagi menghantar ucapan salam kepada Suffiyah. Tapi Suffiyah bijak menyusun kata. Akhirnya salam yang diberi diikuti dengan perbualan yang agak panjang. Memang Suffiyah begitu.

Penariknya adalah kehebatannya memukau orang lain dengan tutur katanya yang ramah dan bersahaja. Suffiyah bukanlah gadis genit yang cantik dan bisa memukau mana-mana lelaki. Suffiyah gadis biasa. Berkulit hitam manis. Badannya agak gempal tapi memiliki senyuman yang manis. Itulah kata-kata rakan Suffiyah tatkala pertama kali melihat senyuman Suffiyah.

Suffiyah juga bukanlah seorang gadis yang mewah. Suffiyah datang dari kelurga yang berpecah belah. Ibu bapa Suffiyah sudah lama berpisah. Dari kecil Suffiyah menetap bersama datuk dan nenek. Dia hanya hidup sederhana sedari kecil. Tapi ilmu yang dibekalkan oleh datuk dan neneknya cukup untuk Suffiyah menjalani hidup yang senang seperti insan lain.

**********************************************************

Telefon dalam koceknya bergetar. Suffiyah sudah dapat mengagak siapa pengirim mesej tersebut. Nabil..itulah jejaka yang kerap kali mengahantar pesanan ringkas kepada Suffiyah dan kadangkala menghubunginya di larut malam. Suffiyah bahagia. Hidupnya berseri semula. Suffiyah berubah menjadi seorang stalker. Tidak cukup dengan gambar-gambar yang dihantar Nabil, Suffiyah akan cuba mengumpul gambar Nabil melalui laman sosial milik jejaka itu. Suffiyah tidak sedar sebenarnya dia telah dilamun cinta. Hatinya berbunga. Sehari tanpa perkhabaran dari Nabil buat Suffiyah tidak senang duduk.

Semakin hari, Suffiyah semakin gilakan Nabil. Perasaan itu datang sendiri tanpa Suffiyah duga. Lantas satu hari Suffiyah cuba meluahkan perasaan yang suci itu. Tapi mungkin Suffiyah agak gelojoh. Nabil seperti tidak menyangka semua itu. Nabil hanya mendiamkan diri. Reaksi Nabil memang tak pernah Suffiyah jangka. Malu mukanya bila ditolak sebegitu. Bagi Suffiyah, bila Nabil mendiamkan diri, itu tandanya cinta Suffiyah telak ditolak dengan hormat oleh sang jejaka. Suffiyah menangis sendiri. Terasa jatuh air mukanya bila dia menganggap dirinya bagaikan perigi mencari timba.

Telefon Suffiyah bedering lagi. Panggilan dari seseorang yang sangat-sangat Suffiyah kenali. Suffiyah menekan butang telefonnya lantas meletakkan telefon di telinga. Sunyi di hujung talian. Seketika terdengar suara. Sayu dan muram nadanya. Suffiyah masih gamam. Tiba-tiba terdengar esakan. Suffiyah jadi kelam kabut. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat. Suffiyah cuba tenangkan si pemanggil. Tapi esakan tangis itu makin kuat dan Suffiyah makin serba salah. Suffiyah rasa bersalah kerana melukakan hati yang suci itu. Suffiyah rasa berdosa kerana membuang insan itu dari hidupnya.

**********************************************************

Sudah tujuh tahun Shah bertahta di hati Suffiyah. Suffiyah tidak pernah berniat untuk melukakan hati Shah dan jauh sekali untuk menduakannya. Hubungan Suffiyah dan Shah yang semakin dingin sejak kebelakangan ini memang menunjukan tanda-tanda akan berakhir. Suffiyah sendiri sudah menggelarkan dirinya solo kembali. Terlalu banyak luka di hati hasil perbuatan Shah. Tak mungkin dia akan kembali kepada jejaka itu. Tambahan keluarga juga tidak merestui hubungan itu sejak dari mula lagi. Suffiyah nekad melupakan Shah walaupun Shah sanggup melutut dikakinya.

Hari ini barulah Suffiyah faham bagaimana perasaan Shah apabila Nabil seolah-olah menolak cintanya. Tapi Suffiyah agak hairan. Kenapa Nabil masih tetap menghubunginya? Walaupun agak malu, Suffiyah masih membalas semua mesej-mesej Nabil dan menjawab panggilannya. Tapi untuk meluahkan perasaan untuk kali kedua memang tidak mungkin sama sekali. Perasaan kecewa dan malu masih menebal di hati Suffiyah. Tapi Suffiyah tidak pernah berhenti menyintai Nabil. Suffiyah yakin Nabil akan jadi miliknya suatu hari nanti.

**********************************************************

Suffiyah bosan. Kunci kereta dicapai. Suffiyah memandu tanpa arah tuju. Ketika meyusuri satu simpang, Suffiyah terpandang tanda arah ke Tesco. Suffiyah lantas membelokkan kereta. Langkah disusun memasuki gedung itu. Nyaman rasanya. Sejuk dihembus angin dari penyaman udara. Suffiyah melewati rak-rak yang tersusun kemas. Dia tidak tahu apa yang hendak dibeli. Lantas kenangan bersama Shah bertandang. Saat bahagia bersama jejaka itu memang buat Suffiyah bagaikan terawang-awang. Kadangkala mereka sengaja masuk ke gedung membeli belah walhal tiada apa untuk dibeli. Kemana pun langkah kaki, semuanya dirasakan bahagia. Tapi itu beberapa tahun dulu. Bila diingatkan kembali betapa terluka hatinya, Suffiyah jadi geram sendiri.

Lamunan Suffiyah dimatikan dengan deringan telefonnya sendiri. Satu mesej diterima dan ianya dari Nabil. Suffiyah membalasnya sambil dirinya masih lagi menolak troli kosong. Mungkin Suffiyah hanya mahu mengukur berapa luasnya gedung itu kerana akhirnya tiada satu pun barang yang dibelinya. Suffiyah leka dengan mesej-mesej Nabil. Suffiyah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Belum pun sempat menghidupkan enjin kereta, satu mesej dari Nabil mengejutkan Suffiyah. Dari cara mesej ditulis, Suffiyah dapat rasakan yang Nabil sedang cuba untuk meluahkan perasaan kepadanya. Ada senyum dibibir Suffiyah. Dia menarik nafas panjang. Tidak mahu terlalu cepat meneka kerana takut terluka lagi.

Macam mana kalau Nabil sukakan Suffiyah?” Suffiyah gamam. Tapi dia tetap cuba menenangkan diri. Pantas jarinya menekan butang-butang telefonnya.

Kalau iapun, apa salahnya kan?”.. Suffiyah cuba menonjolkan kegedikan dirinya.

Tapi dulu kan Suffiyah dah pesan jangan sukakan Suffiyah? Suffiyah kata, kita hanya boleh berkawan saja kan?”. Mesej itu membuatkan Suffiyah menepuk dahi sendiri.

Dia mendapat jawapan mengapa Nabil tidak memberikan apa-apa jawapan bila Suffiyah melamarnya sebelum ini. Suffiyah sendiri lupa pesanannya itu. Mungkin Nabil hanya ingat Suffiyah ingin mengujinya. Suffiyah pesan begitu kepada Nabil di awal perkenalan mereka kerana Suffiyah dan Nabil bukanlah orang lain. Meraka tinggal di kampung yang sama tetapi sudah lama tidak berhubung lantaran masing-masing membawa haluan sendiri untuk menuntut ilmu dan mencari rezeki. Hanya selepas 13 tahun seorang kawan merapatkan kembali hubungan mereka apabila menyedari Suffiyah dan Nabil masih lagi tidak berpunya sedangkan kawan-kawan lain sudahpun memiliki keluarga sendiri.

Entah macam mana, malam itu Nabil melamar Suffiyah sebagai kekasih. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Suffiyah menerima Nabil dengan hati terbuka. Suffiyah adalah cinta pertama Nabil tapi Nabil mungkin cinta Suffiyah yang keempat. Suffiyah memang kuat melayan. Gediknya tak dapat dibendung. Tapi ramai kawan-kawan Suffiyah hairan kerana di usia melewati 25 tahun, Suffiyah masih lagi membujang. Tidak seperti kawan-kawan lain yang pemalu di zaman sekolah. Mereka semuanya sudah mempunyai anak dan paling kurang pun sudah bertunang. Suffiyah hanya tersenyum. Bagi Suffiyah semua itu adalah takdir. Dalam diam, Suffiyah berharap agar takdir jodohnya adalah dengan Nabil.

Hidup Suffiyah bercahaya. Hari-hari sepi Suffiyah ditemani mesej dan panggilan dari Nabil. Tapi Nabil bukanlah lelaki dambaan Suffiyah. Nabil berbeza sangat dengan Suffiyah. Nabil bukanlah seorang yang romantik sedangkan Suffiyah seorang yang manja. Tapi Suffiyah tetap bersabar kerana menganggap mungkin Nabil masih cuba menyesuaikan diri. Kerapkali Suffiyah bermain air mata apabila Nabil mengecewakan hatinya. Tapi demi cinta, Suffiyah bertahan. Suffiyah terlalu cintakan Nabil. Semua perbezaan itu Suffiyah anggap sebagai pelengkap dirinya yang serba kekurangan. Tidak pernah sekalipun Suffiyah menyesali perhubungannya dengan jejaka sekampung itu. Malah Suffiyah menganggap Nabil adalah kurnian Tuhan yang tidak terhingga kepada dirinya yang naif.

Tapi mungkin tidak bagi Nabil. Sejak dia melamar Suffiyah, mesej dan panggilannya untuk Suffiyah semakin kurang. Suffiyah sendiri tidak pasti mengapa. Tapi Suffiyah cuba berfikiran positif. Suffiyah masih memberi peluang kepada Nabil kerana merasakan terlalu banyak yang perlu Nabil pelajari. Sudah lumrah kaum hawa, air mata pasti mengalir bila apa yang diharapkan tidak menjadi. Air mata Suffiyah seringkali mengalir apabila panggilan dan mesejnya tidak berbalas. Tapi Suffiyah sendiri tak mengerti mengapa perasaan marah tidak pernah sekalipun terlintas dihatinya untuk Nabil. Hatinya sentiasa memaafkan segala perbuatan Nabil. Suffiyah terlalu memandang tinggi kepada Nabil. Nabil terlalu sempurna di mata Suffiyah. Tak sanggup rasanya Suffiyah untuk memarahi Nabil. Biarlah hatinya terluka, asalkan Nabil bahagia kerana kebahagiaan Nabil adalah kebahagiaan dan kegembiraan yang tak terhingga buat Suffiyah.

Tapi panas yang Suffiyah harapkan sampai ke petang, rupanya dirundung hujan tatkala mentari menjelma. Saat Suffiyah terlalu bahagia mencintai Nabil, jejaka itu tiba-tiba menghantar satu pesanan ringkas yang tak pernah Suffiyah duga. Nabil menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak bersedia untuk bercinta. Nabil hanya teringin sangat untuk merasakan nikmat cinta hinggakan dia menggunakan hati dan perasaan Suffiyah. Hakikatnya dia sedangkan menipu dirinya dan Suffiyah. Bagaikan halilintar membelah bumi ibaratnya dada Suffiyah apabila mendengar pengakuan ikhlas Nabil itu. Hati Suffiyah hancur dan terluka. Air mata Suffiyah tak dapat dibendung lagi. Umpama empangan pecah apabila dia mendapat perkhabaran itu. Suffiyah menangis semahu-mahunya.

Hampir seminggu Suffiyah berendam air mata. Hidupnya tidak lagi seindah dulu. Suffiyah seperti orang hilang akal. Segala yang dibuat seolah-olah tidak kena. Suffiyah jadi muram. Suffiyah lupa untuk membuat perkara-perkara yang penting dan rutin dalam hidupnya. Suffiyah benar-benar tertekan. Pernah dia cuba meluahkan kekecewaan hatinya kepada Nabil. Tapi jejaka itu kedengaran tenang sekali. Suffiyah cuba mengubat luka di hati. Tapi sekelumit dendam dan benci tidak pernah ada dalam hati Suffiyah untuk Nabil. Dia sentiasa cuba untuk berhubung dengan Nabil walaupun dia sedar kehadirannya memang tak lagi diperlukan Nabil. Suffiyah redha tapi hatinya tetap bersedih.

**********************************************************

Sudah hampir tiga bulan usia perpisahan Suffiyah dan Nabil. Suffiyah masih lagi menangisi kelukaan dihatinya sedangkan dia sendiri tidak pasti bagaimana keadaan Nabil. Mesejnya sudah lama tidak berbalas. Suffiyah mengerti bahawa itu tandanya Nabil memang tidak mahu dirinya diganggu lagi. Suffiyah mengalah walaupun hatinya tidak pernah berhenti menyintai Nabil. Setiap nafasnya adalah cinta untuk Nabil. Walaupun Nabil tidak pernah tahu betapa Suffiyah mendambakan cintanya, walaupun Nabil tidak akan membalas cinta itu dah walaupun Suffiyah tahu bahawa Nabil tidak pernah akan menjadi miliknya, Suffiyah akan tetap setia menyintai lelaki yang telah melukakan hatinya itu.

**********************************************************

Jam berbunyi menandakan Suffiyah perlu menghadapi satu lagi hari tanpa Nabil. Suffiyah sugul. Diselak kalendar sambil matanya terpaku melihat tarikh yang tertera. Suffiyah temenung lagi. Hari ini genap tiga bulan Nabil membuang dirinya. Air mata Suffiyah mengalir tanpa dapat ditahan. Tiga bulan penuh penderitaan tanpa kehadiran Nabil. Dalam tempoh itu, Suffiyah juga telah menolak cinta beberapa lelaki. Hanya seketika Nabil bertahta dihatinya tapi dia tidak dapat melupakan jejaka itu. Suffiyah tak dapat membayangkan masa depannya bersama lelaki lain selain Nabil. Cintanya terlalu sejati dan ikhlas untuk Nabil tapi Nabil tidak pernah menyedari semua itu.

Suffiyah bangun sambil mengesat air mata di pipi. Digagahkan dirinya untuk menempuh hari yang meyedihkan itu. Langkah diatur rapi. Perlahan-lahan air diusap ke muka dan anggota lain sebagai tanda dirinya akan sujud mengadap yang Esa. Sayu sekali hati Suffiyah. Hujan yang turun mencurah seakan-akan menyelami hatinya yang diruntun derita dan kesedihan. Takbir diangkat. Suffiyah cuba sedaya mencari kekusyukan dalam solatnya. Usai ibadatnya, Suffiyah menadah tangan memohon dari Pencipta. Suffiyah berharap jika benar Nabil itu adalah jodohnya, dia amat mengaharapkan agar dipermudahkan jalannya. Dan jika ditakdirkan Nabil bukan jodohnya dan memang dirinya ditakdirkan bersendirian, biarlah Tuhan palingkan cintanya dari mana-mana lelaki.

Jauh di sudut hatinya, Suffiyah bertekad mahu menyintai Nabil sehingga nafasnya yang terakhir. Serik rasanya hatinya apabila asyik bertemu insan yang salah. Luka dihatinya makin berdarah dan mungkin sukar diubati lagi. Suffiyah tahu dia tidak akan memiliki Nabil selama-lamanya tapi biarlah harapan dan impian itu kekal dalam hatinya tanpa ada sesiapa pun yang tahu. Suffiyah cukup terluka. Pintu hatinya tertutup rapat untuk mana-mana lelaki lagi. Suffiyah asyik menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku sedangkan dia sendiri tidak tahu mengapa Nabil mengambil keputusan nekad seperti itu.

Dalam keheningan Subuh yang masih bersisa, Suffiyah termanggu di birai katil mengenangkan nasibnya. Entah mengapa Suffiyah merasakan dirinya insan yang malang dalam bercinta. Rasanya tak layak untuk orang sepertinya menerima dan memberi cinta. Suffiyah bukan tidak merima semuanya sebagai takdir tapi entahlah, Suffiyah sendiri tidak pasti apa yang bermain dimindanya. Akhirnya Suffiyah nekad yang dia mesti meneruskan hidup tanpa bayangan Nabil lagi. Tidak guna dia mengaharap pada yang sudah tak sudi.

Suffiyah bangun perlahan-lahan. Kedinginan jelas terasa. Kebosanan juga menyelubungi pagi yang indah dengan titis-titis hujan yang makin mereda. Setapak demi setapak langkah kakinya dihayun menuruni anak tangga. Air mata masih bergenang dan sesekali mengalir di pipi. Pandangan Suffiyah kabur dan segala-galanya tiba-tiba kelam.

**********************************************************

Bacaan Yassin bergema di seluruh pelusuk ruang kecil itu. Suffiyah nampak ada sekujur tubuh terbaring si atas katil. Suffiyah kaget. Siapakah yang meninggal? Kenapa dirinya langsung tidak dimaklumkan? Ibu, kakngah, kakcik malah ayah turut berteleku di tepi tubuh itu. Suffiyah nampak kelibat Nabil di luar. Hati Suffiyah tertanya mengapa Nabil hadir? Suffiyah cuba menyapa salah seorang tetamu yang hadir. Tapi sapaannya tidak berjawab. Sibuk sungguh tetamu itu hinggakan Suffiyah langsung tidak dihiraukan. Lantas Suffiyah kembali menghampiri jasad tersebut. Ibu kelihatan mahu menyelak sehelai kain putih bersih yang menutup bahagian wajah jasad itu. Suffiyah mesti cepat mengintai. Suffiyah terkedu tatkala melihat jasad itu sangat persis wajahnya.

Ya ALLAH, Suffiyah? Suffiyah sudah meninggal? Apa yang terjadi? Soalan-soalan itu menerjah kepala. Tapi yang pasti doa Suffiyah dimakbulkan Tuhan. Suffiyah tidak lagi akan bertemu insan yang salah. Suffiyah juga tidak akan lagi dibayangi kenangan bersama Nabil. Syukur. Suffiyah redha ketentuan yang tertulis untuknya. Memang benar Suffiyah menyintai Nabil sehingga nafasnya yang terakhir dan itu sememangnya doa dan harapan Suffiyah sejak sekian lama.

Nabil, terima kasih kerana pernah membuat Suffiyah bahagia walaupun hanya seketika. Maafkan Suffiyah kerana seringkali menangisi perpisahan kita selama ini. Cinta Suffiyah ikhlas dan hanya untuk Nabil. Hari ini Suffiyah akan berhenti mengganggu Nabil buat selama-lamanya. Dan Suffiyah janji tidak akan menangis lagi kerana ini akan menjadi tangisan terakhir Suffiyah. Salam sayang hanya untukmu...”

**********************************************************

4 comments:

  1. yantz tulis ni??ada bakat tependam nih..tgu next story lak :)ending tragis siot :'(

    ReplyDelete
  2. hahah..sj ja try..kata pon xda keja..ni yg abehkan masa..hehehe...

    ReplyDelete
  3. suffiyah died??? alolo... i like happy ending story. but nurbaya likes this story!!! hehe.

    ReplyDelete
  4. hahaha..lets create new story nak x?hehehe...endingnya km kwen ngn hero..hahaha...

    ReplyDelete